Monday 28 March 2016

HARI KEBANGKITAN


 Manusia akan melalui beberapa peringkat keadaan apabila sampai ke Alam Masyar kelak. Antara peringkat-peringakat itu ialah :-

*Hari Kebangkitan
*Hari Perhimpunan

*Hari Pembahagian Kitab Catitan Amal

*Hari Pengadilan

*Hari Pembalasan

Maksud firman ALLAH dalam surah an-Naazi'at ayat 6 - 7; "Pada masa berlakunya tiupan sangkakala yang pertama yang menggoncang alam (sehingga mati segala yang hidup dan punah-ranah sekelian makhluk selain dari yang dikecualikan). Tiupan yang pertama itu diikuti oleh tiupan yang kedua (yang menyebabkan orang-orang yang telah mati semuanya hidup semula dan keluar dari kubur masing-masing."

Apabila Malaikat Israfil meniup sangkakala buat pertama kalinya, akan terjadilah kiamat kubra iaitu kehancuran dan kematian total keseluruhan alam maya ini. Sekalian isi alam akan mati dan binasa termasuk makhluk ghaib seperti jin, iblis dan malaikat. Yang tinggal hidup hanyalah yang Maha Pencipta iaitu ALLAH swt. Kemudian akan ditiup sangkakala buat kali kedua oleh Malaikat Israfil (dihidupkan kembali oleh ALLAH) lalu hiduplah semula sekelian makhluk manusia, jin, iblis dan malaikat. Inilah yang dinamakan Hari Kebangkitan. Jarak antara terjadinya Hari Kiamat dan berjadinya Hari Kebangkitan tidak diterangkan dalam al-Quran atau hadith Nabi saw. Namun ia adalah suatu kepastian yang wajib diimani oleh orang beriman.

Maksud firman ALLAH dalam surah al-Waqi'ah ayat 57; "KAMI-lah yang telah menciptakan kamu (dari tiada kepada ada), maka ada baiknya kalau kamu percaya akan kebangkitan (kamu hidup semula pada Hari Kiamat)."


Ada riwayat yang mengatakan bahawa setelah musnah dan mati segala isi alam ini, keadaan akan menjadi sunyi sesunyi-sunyinya. Segalanya diam dan beku. Tiada apa yang bersuara atau bergerak walau hanya sedikit desiran angin sekalipun. Ini berlaku pada masa yang tidak diketahui lamanya. Kemudian tiba-tiba akan terjadi hujan yang sangat lebat yang turun tanpa henti buat masa yang tidak juga diketahui lamanya, sehingga tenggelamlah segala isi alam ini. Setelah tenggelam segala isi alam, hujan akan berhenti dan keadaan akan kembali sepi dan sunyi senyap. Air akan terus menenggelami isi alam ini buat begitu lama yang hanya diketahui ALLAH swt. Apabila sudah sampai masanya,  air akan surut lalu ALLAH akan menghidupkan kembali Malaikat Israfil untuk meniup sangkakala buat kali kedua. Saat inilah akan terjadinya Hari Kebangkitan.

No comments:

Post a Comment